Bismillahir-Rahmaanir-Rahim ...
"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa
yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi
dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti
kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir
di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap
syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan
kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak
mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana
kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu.
Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak
untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita
kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya
mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka
ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam
rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah
bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali
sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan
kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
Ketahuilah bahawa setiap
Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak
ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal
soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan
mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang
telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan
sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada
lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama
baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku
yang telah disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan
mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah
Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang
mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah
orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu
seterusnya.
Semoga orang yang terakhir
yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar
terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu
kepada hamba-hamba-Mu. "
Ya Allah, jumpakan dan kumpulkan
kami kelak dengan kekasihMu yang kami rinduikan , Muhammad shalallahu
alaihiwassalam.., masukkan kami ke dalam golongan hamba-hamba Mu yang Beliau
rindukan ..
اَمِيـْنْ يَـارَبَّ الْعَـالَمِيْــن
Allahumma shalli wassalim
alaa (sayyidina) Muhammad wa'ala ali (sayyidina) Muhammad
Silahkan Bagikan di
halamanmu agar kamu dan teman-temanmu senantiasa istiqomah dan bisa
meningkatkan ketakwaannya kepada ALLAH SWT.

